Maut 11 hari sebelum nikah
Oleh Shahrul Nizam Mohamad
[email protected]
KUANTAN: Hajat seorang bakal pengantin yang akan melangsungkan pernikahan sebelas hari lagi tidak kesampaian apabila terbunuh dalam nahas jalan raya berpunca daripada tindakan samseng jalan raya berlumba haram dalam kejadian di Kilometer 17, Jalan Kuantan-Kemaman dekat Balok di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kereta Proton Wira dipandu mangsa, Mohd Azman Mohd Noor, 27, dari Kampung Seratus, Felda Neram I, Kemaman, Terengganu, dirempuh sebuah kereta dipercayai sedang berlumba dengan kenderaan lain menyebabkan mangsa yang cedera di perut meninggal dunia di tempat kejadian. Difahamkan, kereta mangsa dirempuh sebuah Nissan Fairlady dipandu
seorang remaja berusia 18 tahun dari arah Kuantan ke Kemaman yang ketika itu sedang berlumba dengan sebuah Nissan Skyline
.
Pemandu Nissan Fairlady itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa mengakibatkan kenderaan itu berpusing beberapa kali manakala remaja berasal dari Kemaman itu dihantar ke Hospital Kemaman (HK) untuk menerima rawatan lanjut.
Menceritakan semula kejadian itu, kakak mangsa, Noreha Mohd Noor, 31, berkata arwah sebenarnya dalam perjalanan ke rumah tunangnya, Noriya Zuana Mansor, 23, di Balok di sini, untuk membincangkan persiapan perkahwinan mereka selepas mengambil pakaian pengantin. Menurutnya, kali terakhir dia bertemu arwah malam kelmarin ketika dia datang ke rumahnya di Balok Perdana di sini, untuk menghantar barang hantaran yang akan digubah hari ini (semalam).
Katanya, ketika bertemu, dia tidak menyangka perubahan mendadak arwah yang menunjukkan sikap terlalu riang dan sempat bergurau senda walaupun hakikatnya sebenarnya dia seorang pendiam, petanda dia akan pergi buat selama-lamanya. Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah, Asisten Superintendan Goh Ewe Gee mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Arwah bertunang pada 17 Februari 2008 dan dijangka melangsungkan akad nikah pada 25 Jun ini dan begitu teringin mengenakan pakaian pengantin berwarna jingga. Saya begitu sedih kerana tidak sempat melihat arwah yang juga anak keenam daripada tujuh beradik itu menjadi raja sehari akibat perbuatan orang lain,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mahu meletakkan undang-undang di tangan sendiri, sebaliknya menyerahkan kes itu kepada polis untuk menentukan hukuman setimpal terhadap pemandu yang bertanggungjawab. Katanya, jenazah arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Neram, kira-kira jam 9.30 pagi semalam. Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah, Asisten Superintendan Goh Ewe Gee mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.